Amalan sebelum Ramadhan
Di antara kemurahan hati Allah kepada umat nabi yang Allah
kasihi dan yang kita cintai Muhammad saw, iaitu Allah sentiasa membuka dan
terus membuka sepanjang hari, bulan dan tahun dengan pintu-pintu yang baik, dan
bersamanya kebaikan, malahan semuanya adalah kebahagiaan dan ibadah yang
mendekatkan kepada Allah SWT. Allah juga tidak membiarkan para hambaNya
melainkan sentiasa memuliakan mereka dengan kemurahan hati dan sentiasa
menambahkannya. . Segala puji bagi Allah yang mengurniakan kepada kita anugerah
hasil dari kemurahan hati dan belas kasihan dari Tuhan Yang Maha Pemberi dan
Pengurnia Kebaikan.
Solat lima waktu sepanjang hari adalah penghapus dosa sebelumnya
..solat sunat nawafil sebanyak dua belas rakaat, kita sebenarnya membina sebuah
istana di syurga .. puasa nawafil secara mingguan menyelamatkan kita dari
kepanasan dan kehausan neraka .. Haji tiada balasan yang layak baginya
melainkan syurga ..puasa di bulan Ramadan terdapat rahmat di awal bulan,
keampunan di pertengahan dan hadiah paling besar yang tidak dikurniakan kecuali
oleh Tuhan Yang Maha Mulia lagi Pemurah, iaitu hadiah pembebasan dari api
selain daripada pembebasan setiap hari di bulan Ramadan .. Kenapa tidak? Dialah
yang telah menciptakan (sekalian makhlukNya) serta menyempurnakan kejadiannya
dengan kesempurnaan yang sesuai dengannya. Dialah yang telah
mengatur (keadaan makhluk-makhlukNya) serta memberikan hidayah petunjuk ke
jalan keselamatan dan kesempurnaannya. Dialah yang memberikan kita nikmat,
rezeki dan penghormatan dengan menjadikan kita hamba yang beribadat kepadaNya..
Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat dan rahmat-Nya sempurnalah amal-amal
yang baik, dan mengurniakan kepada kita pelbagai anugerah . Ya Allah,
sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan. Ya Allah, sampaikanlah kami kepada
bulan Ramadan. Ya Allah, sampaikalah kami kepada bulan Ramadan.
Persediaan yang sesuai dengan kedudukan Ramadhan
Mungkin suatu bulan seperti Ramadhan yang menduduki ketinggian
dan kekayaan sebagai satu peluang besar bagi orang yang bijak untuk bersiap
sedia sebelum ketibaannya. Justeru, alangkah baiknya tetamu itu. Inilah bulan
Ramadhan.
Oleh kerana itu, Ramadan berhak meminta kesungguhan dari
sekarang kerana ianya telah diperuntukkan oleh Allah dalam firmanNya melalui
hadis Qudsi (bermaksud):
“Puasa adalah untuk
Ku dan Akulah yang akan memberi ganjaran untuknya”.
Persediaan untuk mengenali Allah:
Satu aspek persediaan untuk bulan yang mulia ini ialah benar-benar
mengenali Allah dan membetulkan pengetahuan tentangNya, memperkemaskan niat dan
membaharuinya secara berterusan kepada Allah semata-mata tanpa mensyirikkan
dengan sesuatu dalam setiap amalan sama ada kecil ataupun besar, yang zahir
atau batin.
Hati yang mengetahui bahawa Allah adalah pemilik sebenar ialah
hati yang mempunyai cahaya yang menyinari ke atasnya dan mendorongnya kepada
semua amalan yang baik dan berguna .. Oleh itu, kesejahteraan hati seorang
hamba yang menjadikannya sejahtera merupakan hasil yang pasti kepada seluruh
badan, iaitu mengindahkan akhlak dan membangunkan tingkah laku sehingga ia
menjadi seorang yang begitu istimewa dan berbeza.
Anda akan mendapati perutnya tidak dimasuki kecuali yang baik,
tangannya tidak mengambil rasuah, tidak melakukan penyelewengan, tidak mencuri
dan tidak merompak, kerana keimanannya bahawa sesiapa yang menumbuhkan daging
dari sumber yang haram, maka api neraka adalah yang layak baginya.
Selain itu, ia juga mempunyai kaki yang baik dan solih, iaitu
tidak digunakan untuk berjalan kepada kemungkaran, tidak mencari kejahatan,
malah tidak bergerak melainkan ke arah keredhaan Khaliq dan Tuannya ..
Pengetahuan yang benar tentang Allah menjadikan dia seorang yang ‘rabbani’.
Hanya kepada Allah dia bersandar, kepada Allah dia bekerja, kepada keredhaanNya
dia berusaha dan kepada kerelaanNya sahaja dia patuhi.
Persediaan untuk mengikuti Nabi dan mencintainya
Mengikut Nabi dan mencintainya juga termasuk cara menyediakan
diri untuk bulan Ramadan yang penuh kebaikan. Iaitu dengan mengingati apa yang
dia lakukan pada bulan Ramadan dan sebelum Ramadan.
Kita berakhlak dengan akhlaknya
Kita beradab sopan dengan adabnya
Kita belajar dengan ilmunya
Kita menuruti jalan yang ditunjukinya
Kita mengamalkan agama dan dakwahnya
Kita menaburkan kebaikan kepada orang lain sepertimana nabi
sanggup mengorbankan dirinya sendiri
Kita mencintai tanah air sebagaimana nabi menyayangi dan
mengasihi tanah airnya
Kita membanyakkan selawat kerana mengharapkan syafaatnya
Allah sentiasa berselawat ke atasnya .. Muhammad, keluarganya
dan para sahabatnya.
Persediaan dengan melakukan muhasabah diri
Ramadan yang penuh kebaikan memerlukan majlis muhasabah dari
sekarang sebelum Ramadan datang dan pergi. Seorang muslim jika dia mahu
menjalani kehidupan yang rabbani dan soleh, dia mesti sentiasa memuhasabah diri
dengan lebih serius, untuk menjadikan muhasabah sebagai ubat bagi setiap
penyakit dan penyembuh bagi setiap musibah dan bencana, membersihkan badan, dan
meningkatkan kemampuan dan potensi, dan membahagiakan dirinya dan sebagainya.
Imam Ahmad meriwayatkan dalam kitab Zuhud bahawa 'Umar
al-Khattab r.a berkata: "Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab (diakhirat)
dan timbanglah amal perbuatanmu sebelum amal kamu ditimbang”. Oleh itu, hari
esok lebih mudah untuk anda sekiranya anda telah menghisabnya hari ini, dan
menyiapkan diri untuk hari penghisaban terbesar:
“dan hendaklah
tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari
amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat).(Al-Hasyr: 18)
Ibn al-Qayyim menukilkan dari al-Hasan berkata: "Mukmin
yang baik terhadap dirinya ialah yang memuhasabah diri kerana Allah. Allah akan
ringankan perhitungan pada hari kiamat ke atas orang-orang yang memuhasabah
diri mereka di dunia ini, tetapi Allah akan menyukarkan perhitungan pada hari
kiamat ke atas orang yang mengambil perkara ini tanpa melakukan muhasabah diri,
".
Terdapat beberapa kesan besar yang dapat diperolehi bagi orang
yang memusahabah diri, antaranya ialah:
1 - Mengenal pasti kelemahan diri yang dapat membantu untuk
mengelakkannya.
2 - Membantu untuk rasa takut dan muraqabah kepada Allah dengan
jujur.
3 – Membiasakan diri hidup dengan berhubung kepada Allah.
4 – Berjaya memperolehi syurga Allah.
Persediaan untuk sentiasa beristiqamah:
Ini kerana jiwa yang beristiqamah akan meningkatkan ruh ..Firman
Allah SWT (bermaksud):
“Oleh itu, hendaklah
engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul
sebagaimana yang diperintahkan kepadamu.” (Hud: 112),
Sabda nabi saw (bermaksud):
" Katakanlah aku
beriman kepada Allah kemudian aku berististiqamah. "
(Riwayat Muslim).
Persediaan membersihkan hatinya
Seorang daripada kita tidak tidur sementara di dalam hatinya
terdapat kebencian, iri hati dan hasad dengki terhadap salah seorang saudaranya
yang Islam. Ini adalah jaminan yang akan melayakkan masuk syurga .. Kita semua
tahu kisah Abdullah ibn Amr ibn al-‘As dengan Saad bin Abu Waqas dan sebab Nabi
Muhammad saw menyatakan berita gembira bahwa syurga untuk-Nya, "..iaitu
orang yang tidak tidur sementara di dalam hati ada perasaan dendam terhadap
seorang Islam yang lain.”
Persediaan dengan menulis wasiat
Kita hendaklah sentiasa menjadikan wasiat kita ditulis dan
direkodkan butiran dan kandungan dengan terperinci. Kita hendaklah
mengambilberat untuk merekodkan hak-hak hamba tentang tanggungjawab kewangan
atau lain-lain. Di samping kita merekodkan hak kita sebagai hamba, kita juga
tidak lupa untuk menulis wasiat supaya dikebumikan bersama para solihin, dan
janganlah sekali-kali kita mati dalam kemurkaan Allah, Tuhan sekalian alam.
Kita juga mesti melatih isteri dan anak-anak kita kepada
perlakuan tersebut, dan kita hendaklah membuat wasiat di rumah atas pengetahuan
isteri dan anak-anak, atau ibu dan bapa serta adik beradik. Kita janganlah
melupakan soal wasiat.
Persediaan mengingati mati:
Marilah kita sentiasa mengingati saat kematian yang akan tiba
dan keluar ruh untuk mengadap Allah SWT yang bersifat Maha Mulia lagi Maha
Pengampun dan belum tentu Ramadan akan datang kepada kita, kerana berapa ramai
orang yang kita kasihi telah ‘menghilang’ pada bulan Ramadan dan sebelum
Ramadan.
Persediaan untuk mengambil Perjanjian:
Iaitu kita berikrar kepada diri kita sendiri dan Tuhan kita,
bahawa kita akan menggembling sepenuh tenaga pada bulan Ramadan - Jika Tuhan
dapat menyampaikan kita kepadanya – untuk berzikir, membaca al-Quran, berbuat
ihsan dan mengubah diri kepada yang lebih baik daripada sekarang, menyubur dan
mengembangkan hubungan antara kita dan Allah, antara kita dan Nabi kita, antara
kita dan isteri-isteri dan anak-anak kita, antara kita dan dunia seluruhnya.
Kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh berdoa dengan segala
kekuatan dan hati kita, dengan menadah tapak tangan sambil meminta dengan penuh
harap dalam doa:
“Ya Allah, Wahai
Tuhan yang boleh membolak-balikkan hati, teguhkanlah hati kami di atas jalan
agama-Mu”.
Persediaan dengan membanyakkan zikir:
Ramadan bulan penuh kebaikan menghendaki kita berlatih dari
sekarang untuk membanyakkan zikir, dan sentiasa ingat bahawa perumpamaan orang
yang berzikir dengan orang yang tidak berzikir ialah orang yang hidup dan mati.
Zikir itu akan menghapuskan pengasingan antara hamba dengan Tuhannya,
Rasulullah saw bersabda (bermaksud):
" Sesungguhnya
apa yang kamu sebutkan tentang keagungan Allah dengan tasbih, tahlil dan
tahmid, menyebabkan kedengaran di sekitar ‘Arasy suatu bunyi seumpama bunyi
lebah, dan Allah akan mengingati mereka, Apakah seseorang itu tidak menyukai
jika ada orang yang mengingatinya ? " (Ibn Majah)
Suatu yang indah tentang zikir ialah membanyakkan dan sentiasa
berzikir lebih baik pahalanya daripada ibadah lain yang memerlukan usaha dan
masa kerana zikir adalah peluang kepada orang-orang yang tidak mampu melakukan
ibadah berdasarkan apa yang disebutkan dalam hadis sahih:
“Bahwa orang-orang
fakir Muhajirin menemui Rasulullah saw sambil berkata;
“Orang- orang kaya
telah memborong derajat-derajat ketinggian dan kenikmatan yang abadi.”. Sabda
nabi saw (bermaksud): “Mahukah aku ajarkan kepada kalian sesuatu yang kerananya
kalian boleh menuruti orang-orang yang mendahului kebaikan kalian, dan kalian
boleh mendahului kebaikan orang-orang sesudah kalian, dan tidak seorang pun
lebih utama daripada kalian selain yang berbuat seperti yang kalian lakukan.
Iaitu kalian bertasbih, bertakbir, dan bertahmid setiap habis shalat ".
(Bukhari dan Muslim)
Di samping itu zikir memberikan tenaga di dalam hati dan kekuatan
fizikal, dan perkara-perkara yang paling indah di dalam zikir dan
membanyakkannya ialah memperolehi penyaksian Allah di muka bumi yang menjadi
saksi untuknya. Justeru, orang yang berzikir kepada Allah di atas gunung, di
jalan raya, di dalam kereta, di rumah, di atas kerusi atau berbaring di
katilnya .. Semua kawasan dan tempat akan menjadi saksi di sisi Tuhan.
Di dalam sebuah hadith dinyatakan bahawa Rasulullah saw membaca
ayat ini:
“Pada hari itu bumipun
menceritakan khabar beritanya.” (Al-Zalzalah: 4).
Rasulullah bersabda:
“Apakah anda tahu apa
beritanya? Mereka berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui? Baginda
berkata: “Berita yang menjadi saksi kepada setiap orang dan umat, terhadap
perbuatan yang dilakukan sambil berkata: Anda telah melakukan suatu perbuatan
ke atasku sekian dan pada hari sekian sekian. "
Perlu dinyatakan di sini bahawa berzikir kepada Allah bukan
hanya perkataan yang disebut di lidah sahaja, tetapi ia adalah satu reaksi,
perasaan dan kesedaran jiwa untuk menggerakkannya daripada keadaan sedia ada
sekarang kepada keadaan yang lebih baik dari segi kerohanian, ketelusan,
rabbaniah dan iman, malah orang yang banyak berzikir kepada Allah boleh sampai
ke peringkat mulia dari Tuhan yang Maha Agung yang memberikan mereka
ketinggian, kelebihan dan limpah kurnia.
Persediaan untuk melatih kepada ketakwaan;
Iaitu kita hendaklah melalui semua jalan dan cara untuk
membangun dan mengukuhkan ketakwaan di dalam jiwa, tindakan kita dan diri kita
sendiri. Inilah seruan Allah kepada para nabi seluruhnya.
Sesungguhnya Amirul Mukminin Ali bin Abu Talib r.a pernah
berkata ketika beliau ditanya tentang takwa: Apakah erti takwa wahai imam?.
Beliau berkata:
هي الخوف من الجليل، والعمل
بالتنزيل، والقناعة بالقليل، والاستعداد ليوم الرحيل
"Iaitu takut
kepada Allah, melaksanakan segala suruhanNya, menerima dengan lapang walaupun
sedikit, dan bersedia untuk hari pembalasan."
Persediaan untuk bertaubat:
Iaitu kita hendaklah segera bertaubat dan memohon ampun dari
Allah dan memohon Allah menerima taubat kita dengan taubat nasuha, dan
memasukkan kita ke dalam golongan yang memiliki semangat, ikhlas, sederhana dan
melaksanakan agamanya, mencintai para pemimpinnya, tolong-menolong dalam
perkara kebaikan dan ketakwaan, menyebarkan kebaikan kepada semua orang, orang
yang jujur danikhlas kepada agama mereka dan mencintai tanahair dengan penuh
ndalam di mana pada hakikatnya lebih disayangi daripada diri mereka sendiri.
Teladan dan idola kita dalam hal ini ialah kekasih kita Nabi
Muhammad saw yang sentiasa meminta ampun dan bertaubat kepada Tuhan yang
adakalanya 70 atau seratus kali dalam sehari .. sedangkan siapakah dia?
Dia ialah seorang Nabi yang tidak pernah berdusta dan dia adalah
cucu kepada Abdul Muttalib .. Dia adalah orang yang diampunkan Allah dosa yang
telah lalu dan akan datang ..
“Dan segeralah kamu
kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan
kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang
disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Ali-Imran: 133),
dan orang yang bertaubat adalah umpama orang yang tiada lagi
dosa.
(Semoga setiap kali Ramadan, seluruh
umat Islam, semua negara dan rantau Islam dalam kebaikan, keamanan dan
kesejahteraan)
Maha suci Allah Tuhan yang memiliki
ketinggian seperti apa yang mereka katakan, dan kesejahteraan buat para Rasul,
dan pujian hanya bagi Allah, Tuhan sekalian alam.